Terbitan: Jabatan al-Quran dan al-Hadith
Isu mengenai keruntuhan akhlak dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia bukanlah suatu yang baru. Saban hari kita didedahkan dengan perbuatan dan perlakuan tidak bermoral dan bertentangandengan Islam oleh segelintir rakyat Malaysia seolah-olahnya tiada kesudahan. Statistik menunjukkan isu-isu kemaksiatan, penagihan dadah, pembuangan bayi, penderaan kanak-kanak, perzinaan, khalwat, sumbang mahram, judi, arak di Malaysia terus meningkat dari tahun ke tahun. Pelbagai seminar, bengkel, program pernah diadakan. Pelbagai resolusi dan perancangan telah dilaksanakan. Namun ia masih gagal membendung atau mengurangkan masalah sosial dalam kalangan masyarakat.
Justeru buku 'Kemelut Peradaban Remaja Di Malaysia' memaparkan isu-isu yang berkaitan dengan usaha untuk meningkatkan peradaban mereka dalam pelbagai aspek termasuk kaedah al-Quran dalam menangani isu-isu remaja, al-Manhaj al-Nabawi dalam berinteraksi dengan remaja, pendekatan holistik dalam menangani gejala seksual dan perzinaan dalam kalangan remaja belia, peranan al-Amr bi al-Ma'ruf wa al-Nahy 'an al-Munkar dalam menangani isu-isu sosial, memahami perkembangan dan keperluan remaja dan peranan institusi keluarga dalam memartabatkan peradaban remaja.
Pendedahan berguna melalui buku ini diharap dapat menjana paradigma seluruh umat Islam dalam pelbagai peringkat untuk terus bekerja meningkatkan martabat peradaban remaja Islam kini kerana mereka adalah 'Amanah dan Tanggungjawab Bersama, Tonggak Masa Depan Negara dan Memimpin Masa Depan Ummah'.
Read more!
|